HIDUP di dunia ini penuh dengan kenikmatan. Allah Subhanahu Wata’ala telah mengurniakan pelbagai nikmat kepada hamba-hamba-Nya agar bersyukur. Namun ada manusia mahupun umat Islam yang cuba menafikan nikmat-nikmat yang telah dikecapi. Mereka seringkali lupa bahawa mereka adalah hamba kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan ramai juga yang tidak pandai untuk bersyukur kepada Allah malah leka dengan kemewahan dan kesenangan yang sudah diperolehi.
`Tuan lembu bertanya kepada lembunya bahawa….ada pelangannya hendak membeli anaknya untuk dijadikan kenduri sempena meraikan majlis perkahwinan puterinya yang dikasihinya….ibu lembu itu terpinga – pinga. Perlukah si tuan lembu meminta izin untuk menjualnya lembu yang juga miliknya.
Hakikatnya ibu lembu…ayah lembu….anak lembu dan seisi keluarganya adalah milik tuannya. Maka mahu diambil si anak, adalah kuasa mutlak ada padanya.
Namun begitu kerana ihsan yang ada pada diri….penternak lembu sentiasa mengambil si lembu dewasa untuk jualan dan sembelihan. Maka selamatlah sianak lembu tadi. Manusia yang memberikan makan minum, penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si lembu itu untuk hidup yang lebih sejahtera.
Begitu juga yang ada pada posisi manusia selagi bernama hamba kepada penciptaNya.
Tapi manusia lupa siapakah diri mereka. Layakkah mereka bercakap yang bahawa kita berkongsi pandai untuk bercakap orang lain bodoh….ataupun kita juga bukannya kaya untuk bercakap orang lain pula miskin.
Dunia kini tidak adil dan selamat kerana manusia lupa siapa diri mereka sebenarnya. Siapakah mereka untuk mempertikaikan hukum – hukum Allah. Layakkah mereka meletakkan daulat selain daripada TuhanNya.
Disana sini kehancuran dan kefasadan berlaku, malah perkara yang bukan berharga dikaca mata manusia telah mulai hilang kerana sifat amanah sudah tiada lagi.
Bukan sahaja besi – besi yang dulu tiada nilai dan harga sudah menjadi satu habuan kecurian yang kerap berlaku, malah selipar buruk juga dianggap barang yang kecurian yang merungsingkan tuan pemakainya.
Dunia sudah tidak selamat lagi. Tapi manusia bangga dengan undang – undang ciptaan manusia yang penuh tipudaya asalkan mereka boleh berada dipersada tampuk kuasa dalam negara. Malah mereka yang bertemakan dalam profesion mereka ` jangan rasuah ` pada stikers yang dipamirkan di kenderaan mereka....mereka juga diantara juaranya.
Teman teringat kisah seorang kawan teman yang kecintaannya kepada kucing dan didapatinya kucingnya mati dan dibungkuskannya lalu diletakkan diraga motornya dan singgah sebentar membeli rokok….tiba – tiba bungkusan itu dicuri orang yang dianggapnya makanan mungkin….tapi yang ditemui si penjahat ialah seekor kucing yang mati….itulah manusia sentiasa mencari kelemahan orang lain untuk hidup berlandaskan hawa nafsu yang jijik dan kotor.
Rasa ego yang bertapak di dalam hati itu bukan mudah untuk diungkai dengan begitu sahaja. Kadang-kadang rasa besar diri inilah yang menyebabkan manusia mudah lupa untuk bersyukur dengan nikmat Allah yang banyak, apatah lagi kalau mereka menganggap pemberian dari Allah itu cuma sedikit.
Selalunya manusia merasakan setiap kejayaan ataupun apa sahaja yang dimiliki itu adalah datang dari usaha-usaha yang telah mereka lakukan. Mereka tidak tahu kalau Allah tidak mengizinkan perkara itu berlaku, ianya tidak akan berlaku. Di situlah nampak bahawasanya kebesaran Allah dalam mengurniakan segala nikmat yang telah diberikan. Udara yang kita hirup selalu ini umpama nikmat yang teramat agung. Tanpa udara yang dibekalkan oleh Allah, manusia tidak akan dapat hidup.
Di kalangan manusia yang hidup di dunia ini terlalu ramai di antaranya yang tidak tahu bagaimana untuk bersyukur kepada Allah. Apalagi untuk bersyukur dengan apa yang ada pada setiap diri masing-masing. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Saba' ayat 13 tafsirnya: "Sedikit sekali hamba-hamba-Ku yang bersyukur." Begitulah yang Allah telah kategorikan kepada manusia ini. Ramai yang kufur dengan kenikmatan Allah. Mengapakah kebanyakan manusia bersikap begitu? Ini adalah manusia tidak mudah merasa puas dan selalu membandingkan apa yang diperolehi oleh orang lain dengan dirinya.
Nikmat-nikmat Allah itu memang banyak sekali. Andainya hendak menghitung nikmat-nikmat Allah yang telah diberikan, memang sama sekali tidak akan terhitung banyaknya. Sekecil-kecilnya, lihatlah pemberian Allah yang setiap kali kita gunakan iaitu pancaindera kita. Tangan, kaki, telinga, mulut, mata, hidung dan sebagainya. Ayat-ayat Allah mengingatkan kepada kita walau bagaimanapun keadaan, kesusahan, kemisikinan kita hadapi, pasti ada nikmat Allah yang banyak telah kita kecapi selama hidup ini.
Al-Fudhail bin Iyadh berkata: "Haruslah kamu selalu bersyukur kepada nikmat! Maka sedikitlah nikmat yang hilang dari suatu kaum lalu nikmat itu kembali kepada mereka." Lihat bagaimana keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam meningkatkan diri untuk bersyukur kepada Allah. Bersyukur bersama tangisan yang telah menjadi lumrah dalam kehidupan Baginda. Baginda adalah 'role model' yang terbaik untuk dijadikan contoh kepada diri-diri kita. Firman Allah di dalam Surah Al Ahzab ayat 21 tafsirnya: "Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu adalah contoh yang baik."
Meskipun Baginda telah dijamin terlepas dari Neraka Jahanam, Baginda tetap mengakui dirinya hamba kepada Allah. Sentiasa terus melahirkan rasa syukurnya dengan mengabdikan kehidupan dengan Sembahyang Sunat Tahajjud kepada Allah. Itulah contoh yang terbaik untuk kita jadikan contoh dan ikutan di dalam kehidupan kita.
Tidakkah kita sedar bahawa dunia ini hanyalah sementara sahaja. Habiskan sisa-sisa umur ini dengan bersyukur kepada Allah. Janji Allah: "Siapa yang bersyukur akan aku tambahkan lagi nikmat- nikmat-Ku ini." Akan tetapi ingatkah juga tentang peringatan dari Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya: "Dan barang siapa kufur maka ingatlah bahawa azab-Ku amat pedih."
Begitulah peringatan Allah kepada orang-orang yang tidak bersyukur. Janganlah kita mengikuti orang-orang yang terdahulu. Mereka yang tidak bersyukur seperti Bal’am bin Bau’ro, Firaun dan lain-lainnya. Cukuplah mereka menjadi ikhtibar kepada kita. Agar kita tidak menjadi seperti mereka. Semoga jadilah kita orang-orang yang bersyukur.
Imam Ghazali berkata: "Sesungguhnya yang bersyukur itu suka bersabar. Begitu pula orang yang sabar, pada hakikatnya suka bersyukur. Sabar dan syukur itu bersamaan, tidak terpisah. Orang yang bersyukur terhadap ujian-ujian yang disabarinya, mendapat nikmat didunia. Ia pasti menghadapi bencana tetapi tidak pula berkeluh- kesah."
Syukur itu ertinya mengagungkan kepada Pemberi Nikmat dan menghalang dari membuat maksiat kepada Allah. Orang yang sabar itu tidak sunyi dari nikmat. Seandainya dia bersabar, itulah tanda dari berkeluh-kesah kerana mengagungkan Allah. Itulah disebutkan dengan syukur. Syukur itu adalah mengagungkan. Menghalanginya dari berbuat maksiat. Orang yang bersyukur itu bererti pula menjaga dirinya dari kekufuran iaitu tidak mensyukuri nikmat.
Dia bersabar menahan nafsunya, tidak melakukan maksiat dan memerintah dirinya untuk bersyukur. Sabar dalam melakukan taat. Hakikatnya adalah bersabar. Ertinya bersyukur itu tentu bersama dengan bersabar. Cara yang demikian menunjukkan dia telah bersyukur kepada Allah. Batin yang memerintahkan sabar dan syukur itu saling berkaitan antara satu sama lain. Justeru itu bolehlah dikatakan bahawa syukur dan sabar itu tidak terpisah. Oleh itu adalah menjadi kewajipan manusia untuk mencapai taraf bersyukur ini. Yang mana urusannya mudah, untungnya banyak. Unsurnya mulia dan agung.
Pada anggapan orang- orang kafir bahawa nikmat yang agung dan mulia itu hanya diberikan kepada orang-orang kaya dan kepada orang-orang atasan sahaja. Mereka adalah salah sama sekali. Sesunggunhya Allah memberikan nikmat itu hanyalah kepada orang yang mengetahui akan kadarnya. Orang- orang yang mengetahui akan kadarnya nikmat itu ialah orang-orang yang menghadapkan diri dan hatinya untuk memilih nikmat-nikmat itu dan meninggalkan yang lainnya.
Tidak menghiraukan kesusahan-kesusahan yang dideritainya. Tidak berhenti dari berdiri di pintu kerajaan Tuhan, bersyukur kepada Tuhan atas nikmat-nikmat pemberianNya. Mengetahui akan kadar nikmat dan mampu mensyukurinya. Jadi mereka inilah lebih utama menerima nikmat-nikmat dari Allah Subhanahu Wata’ala. Setiap manusia yang boleh berfikir ke dalam diri nescaya memperolehi akan dirinya. Begitulah nikmat yang Allah berikan kepada hamba-hamba yang menjadi pilihan-Nya.
Buangkanlah fikiran yang mengatakan nikmat itu hanya merupakan kesenangan, kemewahan hidup di dunia ini sahaja. Nikmat yang terbesar ialah nikmat iman dan Islam. Jika ia dibandingkan dengan segala isi-isi dunia yang ada ini, ia lebih tinggi daripada yang ada. Perlulah kita umat manusia merenung dan menyedari tentang hakikat ini kerana ianya tidak akan mendatangkan kerugian, malahan kesenangan dan kebahagiaan akan dikecapi di dunia mahupun di akhirat.
0 comments:
Post a Comment